Sunday, March 10, 2013

Hadina Mawarku




Hadina asalnya gadis pingitan dari pedalaman. Sembilan tahun lalu wajahnya berparut ngeri akibat disimbah air panas. Ketika aku pertama kali menatap wajahnya semua kesan parut itu sudah tiada sama sekali. Hadina bagiku, wanita cantik yang padan berada di tempatnya kini. Pakaian yang menyalut tubuhnya juga jauh sekali memberi gambaran dia gadis pingitan dari pedalaman yang jauh dari kemewahan.

Sembilan tahun lalu, Hadina dibawa masuk ke dalam keluarga Syed Dzul sebagai pembantu kepada isteri Syed Dzul, Engku Najah yang lumpuh kedua kakinya. Keluarga Engku Najah punya dusun buah-buahan yang luas di kampung pingitan Hadina. Syed Dzul diamanahkan menjaga dusun-dusun berpuluh ekar itu. Syed Dzul seringkali membawa anak-anak lelakinya Idwan dan Karl dalam ekspedisi dusun mereka itu. Suatu hari, Karl terjatuh ke dalam lubang di dusun itu. Kakinya cedera teruk ditikam benda tajam di dalam lubang itu. Setelah kehilangan begitu banyak darah, tiga beranak itu ditemui oleh ayah Hadina, yang kebetulan lalu di denai merentas dusun itu. Karl didukung oleh ayah Hadina ke pondok buruk mereka. Ibu Hadina menempek luka di kaki dengan ramuan tiga jenis daun yang ditumbuk halus. Luka di kaki Karl berhenti berdarah.

Dua minggu selepas itu, keluarga itu datang mengunjungi pondok buruk Hadina sekali lagi. Kali ini Engku Najah datang bersama. Mereka mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah menyelamatkan nyawa Karl, anak kesayangan mereka. Hadina disuruh ibunya menyediakan teh kosong, yang dijamu di dalam cawan-cawan plastik pelbagai saiz kegunaan mereka sehari-harian. Engku Najah membelek wajah Hadina walaupun Hadina berkeras, tidak mahu jadi tontonan. Bila mereka pulang, ibu dan ayah Hadina sangat gembira menerima pemberian lumayan dari keluarga orang bandar itu.

Kisah Hadina dengan orang-orang kaya itu tidak terhenti di situ sahaja. Tidak sampai dua bulan selepas itu, Syed Dzul dan Engku Najah mengunjungi keluarga itu sekali lagi. Kali ini, hidup Hadina berubah terus selepas kunjungan itu.

No comments: