Monday, April 28, 2014

Khazanah Daripada Rumah Tok Yen

Daripada rumah Tok Yen, kami perolehi banyak buku-buku berharga. Tok Yen pegawai kerajaan, akan bersara dan berpindah. Anak-anak Tok Yen punya banyak buku yang tidak mahu digunakan lagi. Buku Sejarah Dunia sukatan pelajaran lama. Aku sungguh beruntung. Kalau setakat sukatan pelajaran zamanku, tidak ada Joan of Arc, tidak ada Bartholomew Diaz, tidak ada Akhbar yang Agung, tidak ada Kublai Khan, dan tidak ada ramai lagi. Dalam sukatan pelajaranku, kami cuma belajar tentang Hang Tuah, Hang Jebat. Aku akan terlopong kalau Napoleon Bonaparte disebut. Biji mataku akan buntang kalau nama Alexander the Great disebut. Ada banyak buku lagi. Novel Terjebak oleh Abdullah Hussain, Sasterawan Negara. Buku Around the World in 80 Days, yang dipermudahkan. Yang aku baca tapi tak faham, sebab mukasurat terakhir telah terkoyak. Masa itu, seperti juga Mr Phileas Fogg, manalah aku tahu pasal Garisan Tarikh Antarabangsa dan seumpamanya. Ada buku teks Bahasa Inggeris yang latihtubinya kutekuni secara tidak sengaja. Ada buku teks Bahasa Melayu sukatan lama dengan petikan-petikan cerita-cerita yang masih kuingat - Terselamat oleh Sebiji Kentang, Rumah Gua Li Tiang, Almari Hikmat Pak Suntuk, dan cerita Kumar yang merungut sebab makan ikan masin selului, tajuknya tak ingat lagi. Ya Tuhan, sungguh besar jasa Tok Yen sekeluarga. Engkau berilah dia sejahtera.

Sebenarnya tidak ada jalan berturap ke rumah Tok Yen. Entah mengapa sekeping gambar ini buat aku teringatkan Tok Yen dan khazanah itu.


No comments: