Monday, July 21, 2014

butanya cinta


Aku baca Far From the Madding Crowd, lantas tulis skesta ni. Ngkorang rasa ok tak kalau jadi cerita cinta ?

Sesudah penat menelaah, aku mengambil angin desa dengan bersiar-siar. Bila bersiar-siar dalam kampung ini, fikiranku penuh dengan Encik Tahir. Boleh jadi juga Encik Tahir ini, bukan tidak terpelajar orangnya. Dia cuma diam, tidak suka berkata-kata. Itu tidak bermakna dia orang tidak berpelajaran. Tidak bermakna dia bodoh. Kalau dia bodoh, masakan dia boleh mengurus lembu-lembu berjumlah hampir tiga puluh ekor itu ?
“Mak Mah, Encik Tahir ini belajar sampai peringkat mana, Mak Mah ?”
Sesudah puas merayau, aku balik ke rumah desa Mak Mah. Aku ambil kesempatan tanya soalan ini bila Mak Mah nampak santai menyapu daun-daun kering di laman.
“Ish kamu ni, tak payahlah berencik-encik dengan Tahir tu. Kamu panggillah dia Abang Tahir. Dia tu bukannya tua sangat dengan kamu tu pun..”
Suara Mak Mah macam tak puas hati. Soalan aku tidak dijawabnya.
Atau Mak Mah sengaja tidak mahu jawab ? Sengaja mengelak untuk menjawab soalan-soalan tentang tahap akademik Encik Tahir. Mak Mah malukah anaknya kurang berjaya dalam pelajaran ? Di dalam zaman sains dan teknologi di mana aku membesar dahulu, ibu-bapa berlumba-lumba untuk kecemerlangan akademik anak-anak mereka. Adakah Mak Mah tewas dalam perlumbaan itu ? Maklumlah, Mak Mah orang kampung. Janda pula tu. Mungkin Mak Mah tidak mampu menyediakan semua itu walaupun anaknya seorang sahaja.
“Er… tadi Abi tanya, aaa… Abang Tahir belajar sampai peringkat mana ?”
“Entah, kamu tanyalah dia sendiri.”
Ishh… kan dah cakap. Memang Mak Mah ni rasa rendah diri. Tak mahu dia menjawab soalan aku. Aku rasa bersalah pula.
“Mak Mah, lauk tengahari tadi ada lagi ke ? Abi rasa lapar sangat ni.”
“Haa. Ada lagi, Kalau nak sedap lagi, panaskanlah.”
Serta-merta nada suara Mak Mah berubah. Mak Mah memang suka kalau aku suka makan masakannya.   Aku segera ke dapur untuk memakan masakan tadi, sayur keladi buatan Mak Mah. Tak pernah terbayangkan oleh aku, keladi ini boleh dibuat sayur. Mama dengan Abah mana pernah makan sayu keladi ni. Tentu Mama tak terbayangkan macam mana keladi yang dikutip daripada tepi parit disiat-siat dan dibuat sayur. Bukan itu sahaja. Mama tentu akan terkejut besar bila dia tahu senarai makanan-makanan yang aku mula belajar makan selama aku di rumah ini.
Malah kefahaman Mak Mah tentang kehamilan pun sedikit berbeza dengan tanggapan Mama. Mak Mah ini aku rasa banyak kampungan pantang-larangnya. Tak kisahlah, janji aku selamat dan sihat bila melahirkan nanti. Tidak sabar rasanya hendak bercerai badan dengan bayi Jo yang aku menyampah itu.
Masa aku tengah makan, Encik Tahir pun muncul dari pintu belakang. Dia tunduk sahaja melihat aku makan penuh selera.
“Encik Tahir… jom makan ?”
“Makanlah, saya belum lapar lagi”
“Sedap ni sayur keladi. Tinggal sikit aje lagi. Nanti habis..”
“Habiskanlah.”
Baik. BIar aku habiskan. Padan dengan muka Encik Tahir yang sombong.
Encik Tahir nampaknya tidak ada selera untuk berbasa-basi dengan aku. Sebentar kemudian dia menghilang ke arah bilik air. Mandilah agaknya. Bila difikirkan mana dia pernah seronok sangat nak berbual denganku. Kalau aku cakap 10 patah, mungkin sepatah sahaja dijawabnya. Pemalu juga Encik Tahir ni. Tak suka layan orang.
Sebenar kemudian masa aku cuci pinggan lepas makan, aku dengan suara orang berbual-bual dengan Mak Mah di laman.
“Isteri Tahir ke ? Dah bunting nampaknya. Kenduri tidak, apa tidak ?”
Amboi-amboi. Lancangnya mulut  perempuan itu.
“Bukan. Kawan si Tahir, dari bandar. Nak bersalin di sini.
“Tak ada suami ke ? Mak bapak pun tak peduli ke ?”
Pedih telinga aku dengan soalan celupar itu. Mahu sahaja aku terkam, kalau aku tak sabar. Tapi Mak Mah nampaknya membela aku.
“Ada masalah sikit dengan keluarganya. Alah hai ..  orang muda. Janganlah bawa ceria yag bukan-bukan pulak. Budak Abi tu baikk orangnya. Anak orang baik-baik juga. Janagn bawa cerita bukan-bukan. Nanti kamu boleh kena saman…” 
“Bukannya apa, orang kampong ada bercerita. Manalah tahu, si Tahir tu. Kahwin tak nak. Tiba-tiba bawak balik perempuan mengandung. .”
“Itulah, jangan jaga tepi kain orang sangat-sangat. Bersangka baik lah jugak.”
“Baiklah Kak Mah. Eloklah tu. Saya ni nak balik dulu. Ayam itik tak dihalau masuk reban lagi. “
Aku mengintai dari belakang tirai. Perempuan gemuk itu mengayuh basikal yang Nampak tak padan dengan berat badannya.

Diam-diam aku bersyukur ditemukan dengan Mak Mah. Mak Mah bukan sahaja manjakan aku. Dia juga sporting dan bela nasibku. Fikiran aku telah dijuruskan untuk berfikir perkara-perkara yang tidak pernah menerjah masuk ke fikiranku selama ini. Aku hanya perlu bersabar sedikit dengan tohmahan-tohmahan orang iasa yang tidak tahu duduk perkara sebenar. Aku perlu lebih dewasa dan bukan membuat keputusan terburu-buru. 

No comments: