Kebolehan berartikulasi bukan dianugerahkan kepada setiap insan. Sesetengah kita, seperti aku, merangkak-rangkak untuk hasilkan sesatu entri yang 'profound' pada penilaianku. Setengah daripada kita tidak kisah langsung dan hanya selesa untuk "copy and paste" walaupun untuk log-log di dalam blog peribadi. Aku orangnya jenis yang puas walaupun hanya dapat log sebaris ayat, asalkan ia datang dari nuraniku sendiri. Adalah lebih senang logkan isihati atau curahan rasa atau meghaban tanpa maksud-maksud yang formal. Sekali duduk sahaja sudah boleh 'publish' satu entri.
Mengenai tabiat "copy and paste" ini, baru-baru ini aku berjumpa dengan pensyarah lama tempat aku belajar dahulu. Dia masih bersyarah, tetapi di universiti yang lain pula. Apa katanya ? Katanya tabiat "copy and paste" pelajar-pelajar universiti dalam tugasan kerjakursus mereka telah menjadikan mereka pelajar yang lebih teruk lagi berbanding zaman aku dahulu. Agaknya di dalam proses "copy and paste" itu, langsung tidak ada ilmu yang melekat dalam otak mereka. Macam itulah aku agak. Pada zaman aku dahulu, mana ada kemudahan internet. Kalau ada tugasan kami kena cari dari buku-buku. Tidak dinafikan ramai seangkatanku dulu plagiatkan kandungan buku-buku rujukan. Bukan aku tau ! Aku tidak pernah buat begitu.
Bagiku penulisan ilmiah yang mantap mesti disertai dengan sumber-sumber rujukan. Dalam kesibukan, aku tidak mampu buat itu semua. Tetapi, bak kata orang tua-tua; kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak, beribulah dalihnya, ya tak ?

No comments:
Post a Comment