Friday, February 8, 2013

doa pada Kekasih



Mesti main lagu ni sambil baca cerita ni tau..

Aku menyelamatkan diriku dengan menggunapakai falsafah-falsafah tertentu dalam hidupku. Falsafah-falsafah itu semestinya tidak boleh bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Kalau kamu sering rasa tidak bermaya untuk datang ke pejabat, atau kamu sering cemburu kepada mereka yang sentiasa nampak bertenaga untuk ke tempat kerja setiap pagi, apa kata kamu korek falsafah kerja orang itu ?

Tidak dinafikan, rasa malas yang kadang-kadang datang menyerang adalah lumrah manusia. Tidak ada manusia yang rajin sepanjang hayat. Mesti ada turun naik semangatnya. Namun, jika setiap hari kamu diserang penyakit malas, atau serangan itu berjangka panjang, itu mungkin tanda kamu bermasalah. Aku berani kata, masalah itu berkaitan dengan penyakit rohani. Kamu berpenyakit rohani. Penyakit rohani harus diubati secara rohaniah. Tidak ada pil yang boleh diberi oleh doktor. Ubat penyakit itu ada dalam diri kamu sendiri, bukan di tempat-tempat lain.

Aku berfalsafah bahawa pekerjaanku ini satu bentuk ibadah. Oleh itu aku melaksanakannya sebaik mungkin, agar ia diterima Allah sebagai satu ibadah. Ia ingatan yang diulang-ulang dalam diriku setiap hari. Pekerjaanku adalah wasilah untuk aku bertemu Allah. Ada orang kata, kalau jadi peguam, sebelah kaki sudah di dalam neraka.  Kenapa mereka kata begitu ? Apa hujah, apa dalilnya ? Mungkin kerana mereka berpendapat, dalam zaman ini, bagaimana boleh seorang muslim mempersibukkan diri  dan mencari makan dengan mempertahankan hak-hak orang, sedangkan undang-undang itu sendiri adalah undang-undang sekular ? Mungkin juga. Jawapannya di dalam falsafah yang lain pula. Lain kali kita bincang lagi.

 Setiap hari aku peruntukkan masa untuk menjaga kepentingan klien. Ada upah yang dibayar. Untuk upah yang dibayar, aku wajar melaksanakan tugasku sepenuh hati. Aku rangka perjalanan kes, dan bila peringkat-peringkatnya aku menuntut bayaran.  Jika kita laksanakan dengan sehabis baik, niat kita betul dan baik, aku yakin Allah sentiasa mudahkan urusan kita dalam keadaan-keadaan terdesak. Oleh kerana pekerjaanku ini satu bentuk perniagaan, aku juga tidak akan terlepas dengan risiko-risiko biasa di dalam perniagaan. Ada banyak dugaan yang telah dan akan datang melanda. Namun ia bagus kerana dugaan-dugaan itu menjadikan kamu lebih fakir dan bergantung kepada Allah. Setiap masa kamu memohon kepadaNya. Kamu belajar solat malam untuk kamu merintih padaNya.  Berbeza kalau kamu makan gaji, atau kamu berada di tahap selesa, kamu akan lalai mengingat Allah. Itulah lumrahnya. Jadi, yang mana satu lebih kamu suka ?

Setelah bertahun di dalam pekerjaan itu, seharusnya kamu adakan untuk diri kamu sasaran-sasaran jangka pendek dan jangka panjang. Dan kamu harus mengambil inventori diri, adakah sudah tercapai sasaran-sasaran itu. Kamu akan tahu jika ada peningkatan dalam diri kamu itu. Jika kamu masih di takuk lama selepas lima tahun, kamu harus berbuat sesuatu. Atau kamu mungkin perlu berbuat sesuatu.

 Sesungguhnya, aku hanya menasihati diriku sendiri, bukan orang lain.

No comments: