 |
| Ada yang tak kena dengan gambar ini untuk tajuk satu harapan |
Apa yang menjadikan sesuatu karya sastera itu agung ? Aku agak kerana ia mampu memenuhi dua matlamat klasik yang mesti ada dalam sesebuah karya agung - hiburan dan pendidikan. Dari penilaianku sendiri, yang tidak pernah diajar sastera, karya Rimba Harapan oleh Keris Mas adalah satu karya besar orang Melayu. Menyusul adalah catatanku :-
- Maaf aku hanya membaca versi Bahasa Inggeris, kerana versi Bahasa Melayu tidak pernah aku temui sampai kini. Jadi aku tidak mampu mengesan kekuatan tulisan Keris Mas. Suatu hari, aku pasti akan temuinya. InsyaAllah.
- Kisah ini mengetengahkan dua sikap Melayu di sekitar 30'an bila berhadapan dengan ancaman kehilangan tanah kepada kaum pendatang Cina dan syarikat asing. Pak Kia digambarkan seorang yang berpegang kepada prinsip golongan tua (dia masih mengamalkan ritual yang kuanggap karut) - bila tanah mereka dibeli oleh Tuan Pekok, Pak Kia mahu terus mengerjakan sawah padi. Dia membeli tanah di kawasan lebih pedalaman dan menanam padi di situ. Kisah ini menceritakan pahit-manis penghijrahan mereka membuka tanah baru dan cabaran serta mara-bahaya yang betul-betul menyerupai pengalaman sebenar. Ini secara tidak langsung menceritakan pembukaan Janda Baik. Adiknya Zaidi pula adalah golongan muda yang mula mendengar ceramah-ceramah kebangkitan nasionalis dari Indonesia, dan mengambil sikap untuk tinggal di kawasan bandar dan bersaing dalam arus perubahan. Zaidi mengambil sikap usahawan dan mencontohi peniaga Cina.
- Isu dalam cerita ini buat aku terfikir - setelah hampir seratus tahun, isu kehilangan tanah orang Melayu ini masih menghantui malah menjadi bertambah serius dengan banyak tanah-tanah dimajukan atas topeng pembangunan. Ini belum termasuk korupsi di balik tabir. Keresahan itu tidak terhapus oleh Dasar Ekonomi Baru. Malah masalah miskin dalam bandar semakin serius. Tidak mustahil suatu hari nanti Melayu hanya mampu menyewa kerana tidak mampu membeli hartanah dalam pasaran.
- Aku faham apa yang mendorong Pak Kia masuk ke kawasan lebih pedalaman kerana kecenderungan itu juga ada dalam diriku.
- Nah, hiburan dan pendidikan, bukan. Terhibur ? Tidak begitu tepat. Aku malahan kaget, terpana, terpempan sejenak. Itu jauh lebih baik daripada terhibur.
- Dalam satu perkataan, mengesankan.
No comments:
Post a Comment