Saturday, March 23, 2013

Temui Jalan Pulang



Aku perhatikan kejahilan dalam agama boleh berlaku dalam kedua-dua keadaan yang ekstrim; dalam keluarga yang dilimpahi harta di tengah-tengah bandar dan juga dalam keluarga miskin tegar di daerah terpencil. Hadina misalnya, tidak pernah kenal Islam sepanjang 15 tahun dia dibesarkan di dalam keluarganya. Mereka tinggal di sebuah rumah pondok ihsan tuan tanah yang bermurah hati membenarkan ayahnya membina pondok dan tinggal di situ. Dek kerana terlalu miskin, mereka malu bercampur gaul dengan masyarakat. Mereka mengelak dari menghadiri majlis kenduri-kendara bila dijemput. Ayahnya juga malu untuk berjemaah Jumaat di masjid kampung itu. Jangankan hendak sembahyang berjemaah, mengaji pun ibu-bapanya tidak tahu. Hadina tidak kenal apa itu telekung dan sejadah, kerana ayahnya tidak punya wang untuk itu semua. Kalau ada wang, itu didahulukan untuk beras, sardin, ikan masin dan lain-lain makanan keperluan mereka. Pakaian pun mereka membeli sekali-sekala. Selebihnya adalah pemberian pakaian terpakai oleh orang-orang kampung. Bukan tidak ada yang mengajak mereka masuk bergaul dengan masyarakat. Ayah Hadina yang enggan dan menyisih dari masyarakat. Hadina dan adik-adiknya dibesarkan dalam keadaan kurang segala-galanya.

Namun kerja memberi petunjuk kepada seorang manusia adalah kerja Tuhan. Jangan kita fikir selama-lamanya seseorang itu akan dibiarkan Tuhan hidup dalam kegelapan. Bila dibawa ke rumah Engku Najah, keadaan tidak jauh berbeza. Engku Najah dan suaminya Syed Dzul melimpahi anak-anak mereka dengan kekayaan dan mereka hidup berpaksikan gaya orang barat. Idwan dan Karl malah meminum minuman keras dan bergaul bebas dengan gadis-gadis teman mereka. Keluarga itu hanya masih meraikan adat-istiadat Melayu dan keagamaan atas nasihat imam atau ustaz yang dijemput sekali-sekala. Hadina juga tidak pernah melihat mereka solat atau puasa.

Ditakdirkan Ungku Najah menggajikan Pak Leman sebagai drebar dan tukang kebun dan isterinya Mak Imah sebagai pembantu rumah dan tukang masak. Pasangan itu tinggal di ruang belakang rumah besar itu. Mereka punya rumah sendiri di kampung halaman. Suatu hari nanti mereka bercadang untuk balik menetap di kampung asal mereka. Mak Imah pun sudah tidak terdaya lagi melayan Engku Najah. Sebab itulah tenaga muda seperti Hadina diperlukan. Daripada pasangan inilah Hadina mengenal Islam. Bila Mak Imah tahu Hadina tidak tahu mengaji dan solat, Mak Imah begitu runsing dan telah mengambil tanggungjawab untuk mengajar Hadina mengenal alif ba ta dan mengaji bila ada masa senggang. Pak Leman belikan Hadina dua pasang telekong dan sehelai sejadah. Semenjak itu, Hadina mula menunaikan solat. Bila sampai bulan Puasa Hadina berpuasa dan berbuka buat pertama kali dengan Mak Imah dan Pak Leman.

Hadina ternyata tekun dengan apa yang diajarkan oleh Mak Imah. Rupanya hatinya terang bila bersungguh diajar dan belajar. Dalam masa enam bulan sahaja dia habis membaca Iqra’ 1 hingga 6 dan sudah boleh membaca al-Quran. Mak Imah bacakan buku-buku agama dan menyuruh Hadina membaca sendiri bila ada masa lapang. Kadang-kadang Mak Imah dan Pak Leman bawa Hadina sekali bila mereka hadiri kelas agama dan majlis-majlis keramaian berbentuk keagamaan. Anak-anak Pak Leman dan Mak Imah sudah besar-besar belaka dan tidak mahu lagi ibu-bapa mereka bekerja. Tapi atas gesaan Engku Najah mereka masih tinggal berkhidmat di situ. Ungku Najah memujuk dengan cara mencarikan pembantu buat Mak Imah, dan seorang pembantu juga untuk Pak Leman iaitu Azhar, seorang pemuda lepasan SPM yang lebih banyak memandu untuk keluarga itu sekarang ini berbanding Pak Leman. Pak Leman lebih banyak membantu Mak Imah menjaga kebersihan sekeliling rumah di samping kebersihan laman villa gedang itu.

Hadina kini menyimpan azam untuk mengajarkan ibunya pula. Dia menyimpan semua wang gajinya. Nanti bolehlah dia belikan baju melayu dan kain pelekat untuk ayahnya dan adik lelakinya seperti yang selalu dipakai oleh Pak Leman. Dia akan belikan mereka sejadah dan sepasang telekong seorang untuk ibu dan dua adiknya. Dia akan belikan mereka mukadam Iqra' dan akan ajarkan mereka. Nanti ayah dan ibunya tidak segan lagi mahu sama-sama turut serta dalam majlis jamuan di maasjid. Mereka boleh hadir ke kelas-kelas agama di majid dan surau. Hati Hadina berputik lebat dengan putik-putik bunga pengharapan.

No comments: