Satu penyakit kronik yang pernah ada dalam diriku ini adalah aku selalu rasa aku buat baik banyak sangat. Terlebih-lebih baik. Lepas tu rasa tak dihargai oleh yang menerima kebaikanku itu. Benda baik aku buat tidak dicerita, diwarta, dimasyhurkan, tapi sekelumit kesilapanku dijaja-jaja, diwacana, dibesar-besarkan sehingga nampak seolah-olah aku langsung tidak pernah beri pertolongan. Tidak pernah buat baik. Bila 'overwhelmed' aku akan tertekan sendiri. Menangis , menangis , menangis. Sehinggalah aku jumpa penawar untuk penyakit kronik ini.
Kalau boleh dimanfaatkan, aku ingin kongsikan penawar yang aku guna buat mengubat penyakit kronik ini. Penawar ini tidak ada dalam buku-buku psikologi karangan orang-orang kafir kerana mereka tidak percaya kepada Allah. Atau konsep tuhan mereka berbeza. Entah, aku sebenarnya tidak tahu apa yang mereka percaya, dan aku tidak peduli. Tetapi aku yakin penawar ini tidak ada dalam buku-buku psikologi moden itu.
Malah, kalau kamu sendiri tidak yakin percaya kepada balasan oleh Allah, penawar aku ini tidak akan mengubat kamu juga. Terserahlah.
Jika kamu pernah rasa sedih atau terkilan kerana rasa tidak dihargai, yakinlah bahawa kamu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah ketika melakukan kebaikan itu. Kamu mengharapkan balasan daripada manusia. Kamu jangkakan ucapan terima kasih dan penghargaan daripada manusia. Mungkin juga kamu mahu kebaikan kamu itu disebut-sebut. Sekarang, istighfarlah banyak-banyak.
Satu petanda kamu ikhlas adalah bahawa buah-butir kebaikanmu itu kamu langsung tidak ingat dan simpan lagi dalam fikiranmu. Contohnya kalau kamu beli sehelai baju, kamu dah tak ingat harganya, di mana dibeli, bila dibeli. Satu hari kamu tegur si pemakainya, cantik baju ini ! lalu si pemakainya menyebut, "laa baju ni kamu yang beri !". Contoh aje. Tapi kalau kamu sampai mati kamu dok asyik ingat sehelai baju kamu beri pada orang, itu mungkin tandanya kamu minta dibalas. Tak ikhlaslah maknanya tu.
Berlainan sekali kita dengan Allah. Allah adalah al-Khalik, Pencipta kita. Allah sebut

Sahih International
O mankind, you are those in need of Allah , while Allah is the Free of need, the Praiseworthy.
wahai manusia kamu fakir kepada Allah, walhal Allah yang Maha Kaya, Yang Maha Terpuji
Surah Fathir (35) : 15
Surah Fathir (35) : 15
Kita disuruh meminta-minta, merayu-merayu, merintih-rintih kepada Dia. Kita disuruh mengharap balasan baik daripadaNya daripada perbuatan baik kita. Perbuatan baik itu adalah wasilah kita denganNya. Biar dihapuskan dosa-dosa kecil. Biar diberi ganjaran baik. Ada orang tuduh, kalau kita harapkan balasan dari Allah, maka kita juga tidak ikhlas. Aku akan berhujah dengan ayat ini, untuk membalas tuduhan yang seperti itu. Ayat ini kata, kita ini fakir, dan Allah Maha Kaya. Orang yang sombong bongkak tidak mengharapkan Allah, tidak minta kebaikan daripada Allah, itulah orang yang merasa dirinya kaya dan tidak mengaku dia fakir kepada Al-Khaliknya. Maknanya, tidak beriman dengan ayat di atas. Mintalah dan berharaplah sementara kita masih hidup ini. Bila kita nampak azab neraka di hadapan mata kita nanti, masa tu bukan lagi kita meminta-minta, merayu-rayu, merintih-rintih. Entah-entah kita meraung-raung, melolong-lolong macam orang gila minta dilepaskan daripada azab. Wallaahu a'lam.
Jadi, kalau kita ingin teruskan berbuat baik, niatkannya kerana Allah semata-mata. Jangan minta balasan. Ucapan terimakasih pun jangan. Kalau beri makan pada anak yatim dan mereka yang memerlukan, harapkanlah hanya untuk wajah Allah. Allah dahpun sebut Surah al-Insan (76): 5 hingga 11 terutamanya.
Siapakah a-Abraar itu ? Mereka orang yang memberi makan kepada orang yatim dan miskin hanya kerana Allah. Kami tidak mengharap balasan dan ucapan terima kasih. Kami takut kepada hari yang wajah-wajah menjadi berkerut dan hari pembalasan.
InsyaAllah, kamu tidak akan terluka lagi. Perasaan kamu tidak akan terguris lagi. Bukankah catatan Allah itu yang maha detailed ? Kalau ada budi yang baik, biar ia hilang di mata kasar manusia. Tidak mengapa kerana disisiNya ada catatan yang maha komprehensif, yang maha inklusif. Jangan sesakkan emosi kita dengan perasaan-perasaan yang membelenggu.

No comments:
Post a Comment