Monday, March 18, 2013

mutiara penawar

إِنَّكُمْ لَا تَسَعُووْنَ النّاسَ بِأَمْوَالِكُمْ فَلْيَسَعْهُمْ مِنْكُمْ
بَسْطُ وجْهٍ وَ حُسْنُ خُلُقٍ
Aku fikir ada baiknya kita luahkan secara santai kefahaman yang menjadi pegangan Diin Islam kita. Kita tidak harus ada rasa malu untuk membentangkan apa  yang kita faham atau yang kita sangka kita faham. Mudah-mudahan ada yang betulkan kita bila kita berbuat silap. Sementelahan pula aku baru temui Google Arabic Keyboard. Sangat mudah. Sungguh mengujakan. Jadi bolehlah aku coretkan sesuatu serupa ini dengan lebih mudah.

Di atas adalah sepotong hadith yang kubaca pagi tadi. Hadith ini adalah dari Abu Hurarirah r.a yang mengatakan Rasulullah bersabda sedemikian. Hadith ini dicatitkan oleh Abu Laits As-Samarqandi dalam buku Tanbihul Ghafilin, dalam Bab Fadhilat Memberi Makan dan Berbudi Baik.   Kefahaman hadith ini, bagiku, adalah pelengkap kepada coretanku tentang pisang emas yang telah dibawa orang, pergi belayar itu.

Maksudnya, dalam bahasa aku sendiri adalah begini : sesungguhnya kamu tidak melapangkan manusia dengan harta-harta kamu, maka hendaklah dia melapangkan akan mereka daripada kamu dengan wajah yang senyum dan keelokan perangai.

Terjemahan yang dicatatkan di dalam kitab itu adalah "kamu tidak dapat melapangkan kepada orang-orang dengan hartamu, tetapi lapangkanlah dengan senyum mukamu dan baik budimu."

Kefahamanku, kalau kita beri orang pemberian-pemberian, tapi kita layan orang itu dengan muka masam, perangai kita pun kasar, pemberian kita itu tidak melapangkan orang itu. Orang itupun mesti terguris dengan perangai kita yang elok bebenor itu. Oleh itu, kalau dah bagi pemberian, sertailah dengan muka yang manis dan layanan yang baik.  Ingat, jangan kita anggap dia selama-lamanya terhutang budi kepada kita atas pemberian kita itu. Mungkin itu rezeki yang Allah dah tetapkan untuk dia pun, hanya melalui tangan kita sahaja.

Dan ingat, kalau kita bayar gaji pekerja, jangan pula kita sangka kita  yang bagi rezeki pada pekerja itu. Itu memang hak dia sebab kita dah pakai perkhidmatan dia. Kalau kita tak bayar, kita kena saman, tau ? So, bahagian gaji dia dalam akaun kita bukan hak kita sebenarnya.

No comments: